Demi Rindumu Episod 10 Sinopsis and Video
Friday, October 18, 2019
Add Comment
Terbitan : Zamriez Golden Picture Sdn Bhd
Pelakon:
Sean Lee, Janna Nick, Norman Hakim, Elvina Mohamad, Sherry Ibrahim, Aleza Shadan, Mustapha Kamal, Azri Sabri
SINOPSIS DEMI RINDUMU
MARIAM menoleh ke arah suaminya yang sedang membaca al-Quran. Enggan mengganggu, dia menyambung melipat pakaian. Habis melipat sehelai baju, dia mengerling lagi ke arah Hussin. Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Tetapi mata suaminya masih melekat pada al-Quran.
“Awak ni kenapa, Puan Mariam? Dari tadi tertoleh-toleh ke arah saya. Handsome sangat ke saya hari ni?” tanya Hussin yang baru selesai mengaji.
Dari ekor mata, dia menyedari kelakuan Mariam sejak dari tadi. “Abang ada kenal mana-mana ustaz?” Akhirnya Mariam bertanya soalan yang terbuku dalam hati.
“Ada.”
“Siapa?” Mariam menyoal, tidak sabar.
Diberi sepenuh tumpuan kepada suaminya.
“Ustaz Don Daniyal,” Hussin menyebut nama ustaz yang popular di salah sebuah rancangan TV.
“Abang, saya tengah serius ni! Ada tak ustaz yang abang betul-betul kenal? Maksud saya, personally.”
Hussin menutup naskhah al-Qurannya dan diletakkan ke rak buku sebelum kembali kepada isterinya.
“Kenapa awak nak cari ustaz? Awak nak belajar ilmu agama ke? Baguslah. Kita dah tua-tua macam ni, mesti tingkatkan amal ibadat. Siapa tahu, bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil menghadap-Nya.” Tiba-tiba sahaja Hussin berceramah.
“Abang, saya nak cari ustaz bukan untuk saya... tapi untuk Nasrul.” Berkerut wajah Hussin mendengar kata-kata Mariam.
“Macam tak kena saja bila Rul nekad nak kahwin dengan Rania. Saya ingat Rul kena guna-gunalah bang,” luah Mariam, bimbang.
“Tak baik tuduh Rania macam tu,” ujar Hussin. Dia enggan percaya anak lelakinya dibomohkan kerana sekali gus, mereka menuduh Rania melakukan perkara syirik.
“Saya bukan nak menuduh. Tapi takkan abang tak rasa pelik? Bila Na membantah perkahwinan mereka, Rul buat tak tahu aje. Seolah-olah Na langsung tak penting dalam hidup Rul.”
Selama ini memang kedua-dua orang anaknya itu sering bertengkar. Tetapi Nasrul jelas amat sayang dan mengutamakan adiknya. Mariam perasan, Nasrul sering mengalah dengan Nurhana, tetapi lain pula jadinya apabila melibatkan Rania.
“Entahlah. Abang pun tak tahu nak kata apa.” Hussin juga buntu. Sedikit sebanyak, dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perlukah dia membawa Nasrul bertemu dengan pengamal perubatan Islam?
“Abang panggil ustaz datang ke rumah kita, ya?” pujuk Mariam lagi.
“Tengoklah macam mana,” balas Hussin.
Dibiarkan Mariam menyudahkan tugas melipat pakaian. Memikirkan tentang Nasrul, Hussin teringatkan anaknya yang seorang lagi. Fikirannya berserabut apabila memikirkan Nurhana akan berkahwin dengan Haznik. Pemuda itu baru sahaja dikenali oleh Nurhana. Mana-mana bapa pun akan membantah dan berfikir dua kali. Namun dia tidak mampu menolak. Lebih-lebih lagi apabila pemuda itu datang ke pejabatnya semalam. Tingkah laku Haznik yang sopan menarik perhatiannya. Masih terngiang-ngiang kata-kata pemuda itu kepadanya.
“Saya takkan lamar Nurhana tanpa kebenaran orang tuanya.”
“Macam mana kalau anak saya tolak lamaran kamu?” Haznik hanya tersenyum sebaik mendengar soalannya itu.
“Kalau dia menolak, saya harap dan berdoa Nurhana akan dapat lelaki yang lebih baik.”
Hussin begitu berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Jadi mana mungkin dia dapat menolak pemuda sebaik itu?
TERAGAK-AGAK NURHANA melangkah masuk ke dalam butik pengantin itu. Matanya tidak berkelip tika melihat ruang dalam butik yang dihias indah persis istana Inggeris lama. Busana pengantin yang dipamerkan juga cantik belaka.
“Selamat datang. Cik datang seorang sahaja?” tanya seorang pembantu di butik tersebut. Senyumannya tampak begitu ramah.
“Saya...” Nurhana tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu. Memang dia datang sendirian. Tetapi Haznik sepatutnya akan menyusul kemudian.
“Dia bakal isteri saya,” sampuk satu suara yang amat dikenali Nurhana. Lantas matanya teralih kepada Haznik yang menuju ke arahnya. Jejaka itu tersenyum tatkala pandangan mata mereka bersabung. Pembantu butik tadi terus mengundur diri kerana enggan mengganggu.
“Dah berapa lama awak tunggu?” tanya Nurhana. Jelas, Haznik lebih awal tiba di situ.
“Adalah dalam...” Haznik menggapai tangan kanan Nurhana, untuk melihat jam di pergelangan tangan gadis itu.
“Satu jam,” sambung Haznik, menurunkan semula tangan Nurhana.
“Satu jam?” Nurhana tersentak. “Saya minta maaf. Traffic jam tadi.” Beritahu Nurhana.
Dirinya dihurung rasa bersalah. Sepatutnya dia sampai lebih awal tetapi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“KL, mana pernah tak sesak?” balas Haznik tidak kisah.
Nurhana mengangguk, bersetuju seratus peratus. Pantang hujan atau kemalangan, pasti jalan akan jadi sesak dengan teruk. Jika tidak sesak pun, mungkin ketika Hari Raya. Ketika itu ramai meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman.
“Sekurang-kurangnya awak datang. Saya ingat awak takkan muncul langsung,” kata-kata Haznik menjengah telinga. Nurhana tidak menyahut. Berkali-kali dia terpaksa meyakinkan diri untuk datang ke butik itu. Apatah lagi selepas dia menerima lamaran Haznik tempoh hari. Dia sendiri tidak tahu bagaimana perkataan ‘ya’ boleh meluncur keluar dari mulutnya.
“Dari mana awak tahu tentang butik ni?” Nurhana segera mengalih cerita.
“Internet,” jawab Haznik, sepatah. Nurhana merenung Haznik dengan rasa tidak percaya. Jejaka itu hanya menjongket bahu, tidak peduli.
“Dah sedia untuk pilih baju pengantin awak?” tanya Haznik, mengalih tumpuan Nurhana.
NURHANA MELIHAT semula gambar-gambar yang diambil ketika berada di butik pengantin tadi.
Beberapa busana pengantin sudah dicuba. Saat dia mencuba baju pertama dan menunjukkannya kepada Haznik, jejaka itu hanya terpaku memandangnya.
“Macam mana?” Teragak-agak Nurhana bertanya. Mengapa lelaki itu terdiam? Warna baju itu tidak sesuai dengan dirinya ke? Atau apa?
“Awak nampak cantik.” Puji Haznik selepas terpaku lama.
“Ya ke?” tanya Nurhana, tidak yakin. Dia memerhatikan imej diri di hadapan cermin. Ada kerutan di wajahnya.
“Awak perempuan paling cantik yang saya pernah lihat di dunia ni,” kata-kata Haznik membuatkan pipi Nurhana merona kemerahan.
“Awak tak rasa pujian awak terlalu melampau?” tanya Nurhana.
“Saya cuma cakap benda yang betul.” Bibir jejaka itu masih menguntum senyum. Matanya pula tidak lepas daripada memandang Nurhana.
“Na buat lawak, ya?” Nasrul tiba-tiba menerpa masuk ke dalam biliknya, membuat Nurhana tersentak. Dia bukan lagi berada di butik pengantin tetapi di dalam biliknya sendiri.
“Abang masuk tak reti ketuk pintu dulu ke?” marah Nurhana.
“Apa Na buat kat butik pengantin tadi?” Nasrul tidak menjawab soalan Nurhana.
Hatinya panas apabila mendapat tahu Nurhana pergi ke butik pengantin untuk mencuba pakaian. Bersama-sama Haznik pula tu!
“Pilih baju kahwin,” jawab Nurhana.
“Na tetap nak kahwin dengan Nik?”
“Ya.”
“Na jangan cari pasal, boleh tak? Bukan ke abang dah kata, jangan kahwin dengan dia! Kenapa Na degil sangat ni?” Nasrul sudah mula bercekak pinggang.
“Abang tanya kenapa Na degil? Abang yang degil! Abang tetap nak kahwin dengan perempuan tu, kan?
Jadi Na tak nampak apa masalahnya kalau Na kahwin dengan Haznik. Lagipun apa masalah abang sampai abang tak suka dengan Nik? Apa salah dia dengan abang?
Takkan Na langsung tak boleh kahwin?” Sakit hati pula Nurhana berdepan dengan kerenah abangnya.
“Boleh tak Na jangan banyak tanya dan ikut aje cakap abang?”
“Kenapa pulak? Na minta abang jangan kahwin dengan Rania, tapi abang tak nak dengar pun!”
“Itu lain! Na jangan nak ubah topik. Sekarang kita tengah bercakap pasal Na dengan Haznik! Lagipun abang bukannya tak bagi Na kahwin sampai bila-bila.
Abang cuma minta Na jangan kahwin sekarang. Jangan kahwin pada hari yang sama dengan abang.”
“Apa bezanya? Kenapa abang boleh kahwin dengan Rania tapi Na tak boleh kahwin dengan Nik?
Beritahu Na apa alasannya sekarang jugak!” Nurhana menuding jarinya ke arah bawah. Nasrul menggenggam kedua tangannya kuat. Dapat dia rasakan darahnya mula menggelegak. Sudah beberapa kali mereka bertengkar kerana perkara yang sama. Dia sudah serik!
“Jangan kata abang tak bagi amaran.” Nasrul memberi peringatan sebelum meninggalkan bilik adiknya.
DEGIL! SATU perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan sikap adiknya. Nasrul tidak mengerti mengapa susah sangat untuk Nurhana mendengar nasihatnya? Langkahnya laju menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Dapat Nasrul mendengar suara ibu bapanya berbual dengan seorang tetamu yang tidak dia kenal.
“Rul.” Dia terdengar suara bapanya memanggil. Langkah Nasrul terhenti.
“Duduk dulu.” Permintaan Hussin tidak berani ditolak oleh Nasrul. Diatur gerak ke arah ruang tamu.
“Kenalkan... ini kawan lama papa, Rahman.”
“Assalamualaikum,” ucap Nasrul. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat dengan tetamu bapanya itu.
“Waalaikumussalam warahmatullah,” jawab Rahman.
“Anak saya ni akan berkahwin bulan depan,” Hussin memberitahu. Rahman terangguk-angguk. Diperhatikan sahaja Nasrul yang nampak tidak memberikan perhatian kepadanya.
“Jadi, macam mana ustaz? Anak kami memang terkena guna-guna ke?” tanya Mariam, tidak sabar. Menyedari terlepas kata, segera dia menutup mulut. Nasrul tersentak mendengar kata-kata ibunya itu.
“Apa mama kata? Guna-guna?” tanya Nasrul. Matanya tertumpu pada wajah ibunya itu. Kemudian beralih pada wajah bapanya dan tetamu pada petang itu.
“Err... bukan macam tu, Rul. Sebenarnya...” Mariam tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perkara itu. Dia mengalihkan pandangan ke arah suaminya, memohon bantuan.
“Apa semua ni? Kenapa semua orang pandang Rul
macam tu? Rul tak apa-apa! Rania tak guna-gunakan Rul!”
Nasrul naik berang. Sedikit pun dia tidak menyangka tetamu
mereka itu datang untuk ‘melihat’ keadaan dirinya.
Mariam terdiam. Nalurinya makin kuat mengatakan
anaknya sudah diguna-gunakan. Apatah lagi apabila melihat
Nasrul cuba mempertahankan Rania.
“Rul jangan salah faham. Mama dan papa cuma
bimbangkan Rul saja,” terang Mariam.
Nasrul menghela nafas perlahan.
“Rul tahu Na tak sukakan Rania dan tak nak Rul
kahwin dengan Rania. Tapi Rul tak sangka mama dan papa
pun tergamak buat macam ni.”
“Rul...” Hussin menegur. Kata-kata anaknya itu
dirasakan sedikit keterlaluan.
“Papa, Rul minta maaf... tapi Rul tak boleh terima
semua ni.” Nasrul angkat kedua-dua tangannya. Habis
berkata-kata, dia bangkit dan melangkah ke arah pintu.
Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Hussin menarik nafas dalam-dalam. Sabar sahajalah
dia dengan kerenah satu-satunya anak lelakinya itu.
“Maafkan anak saya ustaz,” ucap Hussin kepada
tetamunya itu. Dia terasa segan kerana tetamunya dilayan
sebegitu rupa oleh anaknya.
“Tak mengapa,” ucap Rahman, tenang.
NASRUL TENUNG telefon bimbitnya. Dua panggilan daripada
Rania sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia mengangkat
pandangan pada pintu pejabatnya. Dia begitu yakin Rania
akan muncul pada bila-bila masa saja. Kiraan dimulakan.
Satu... dua... tiga... Pintu pejabatnya ditolak dari
luar. Terpacul wajah gelisah Rania.
“Sayang, awak okey tak? Saya risau sangat bila
saya tak dapat call awak tadi. Awak tak apa-apa, kan?” Rania
terus menarik kerusi dan duduk di sisi Nasrul. Wajah lelaki
itu ditatap. Dia cuba mencari jawapan di sebalik raut wajah
Nasrul.
Nasrul merenung wajah Rania yang bersolek
rapi. Haruman gadis itu semerbak memenuhi ruang bilik.
Penampilannya sentiasa seksi bagaikan madu yang mahu
menarik perhatian lebah.
“Awak okey tak ni?” tanya Rania lagi apabila Nasrul
membisu.
“Saya tak apa-apa. It’s just my family.” Nasrul
menghela nafas sebelum tergeleng perlahan.
“Kenapa dengan famili awak?” Rania menggapai
tangan Nasrul lalu digenggam perlahan.
“Mereka tak suka saya kahwin dengan awak. Sampai
tergamak mereka kata awak guna-gunakan saya. Awak rasa
logik ke? Sekarang dah abad ke berapa? Mana ada orang yang
masih percaya pada benda-benda karut lagi, kan?”
Raut wajah Rania berubah sebaik mendengar bicara
Nasrul.
“Be... betullah apa yang awak kata tu.” Nada suara
Rania rendah sahaja.
“Mungkin mama dan papa saya terlalu risau sehingga
fikir yang bukan-bukan. Tapi saya cukup kenal dengan awak.
Saya tahu awak orang terpelajar. Orang bandar. Saya percaya
awak takkan terlibat dengan semua tu.”
Rania tersenyum segaris. Dia rasa tidak senang
mendengar kata-kata Nasrul. Ingin sungguh dia menukar
topik bicara mereka.
“But how about our wedding? Kalau parents awak
tak suka, takkan kita nak batalkan majlis tu? Awak tahu kan
saya dah jemput semua orang kat tempat kerja saya. Famili
dan saudara-mara saya pun akan datang dari jauh untuk hadir
ke majlis kita,” Rania terus mengungkit akan perkahwinan
mereka. Dia tidak mahu perkahwinannya dibatalkan kerana
tentangan keluarga Nasrul.
“Saya tahu. Tapi awak tak perlu risau, okey? Tiada
siapa pun yang akan dapat halang majlis kita daripada
berlangsung.” Nasrul memberi jaminan.
Wajah Rania kembali ceria.
“Awak free tak? Kalau awak tak sibuk, apa kata awak
temankan saya pergi ke butik. Boleh kita pergi cuba baju
pengantin kita. Lagipun designer tu dah call saya semalam.
Dia kata dia dah adjust baju ikut saiz kita.”
“Bila? Sekarang ke?”
“Yalah... nak tunggu bila lagi? Majlis kita dah tak
lama lagi tau.” Rania mengingatkan.
Nasrul garu kepala sebelum melepaskan keluhan
perlahan.
“Okey, jom.” Nasrul akhirnya bangun dari kerusinya.
0 Response to "Demi Rindumu Episod 10 Sinopsis and Video"
Post a Comment