Demi Rindumu Episod 8 Sinopsis and Video
Thursday, October 17, 2019
Add Comment
SINOPSIS DEMI RINDUMU Eposod 8
HAZNIK mengeluarkan kunci dari beg bimbitnya. Baru sahaja dia hendak membuka mangga di pintu gril, bahunya tiba-tiba ditarik agar dia berpusing sebelum dirinya ditolak ke dinding.
“Apa yang kau dah buat sampai adik aku nak kahwin dengan kau?” soal Nasrul, keras. Dicengkam kolar baju Haznik tanpa belas. Haznik tidak segera menjawab. Mukanya berkerut. Tubuhnya rasa sakit akibat ditolak kuat ke dinding. “Boleh tak kita bincang elok-elok?” Haznik bertanya.
Jika hendak dibandingkan, tubuhnya memang tidak setegap Nasrul. Tidak mungkin dia dapat menandingi kekuatan jirannya itu. Lebih baik dia berlembut. Nasrul merengus kasar sebelum melepaskan Haznik. Dibiarkan jirannya itu menarik nafas sebelum merapikan kolar bajunya.
“Jawab soalan aku tadi!” Nasrul sudah tidak sabar. Kali ini dia tidak menggunakan sebarang kekerasan ke atas diri Haznik. “Kita bincang kat dalam, boleh? Tak elok kalau orang tengok,” Haznik tetap tenang.
Melihatkan Nasrul tidak membantah, dia memasukkan kunci ke dalam mangganya. Daun pintu dikuak luas. Dia membenarkan Nasrul masuk terlebih dahulu. “Nak minum?” pelawa Haznik, menuju terus ke dapur. “Tak payah.” Nasrul menolak. “Okey, saya akan buat jus oren.” Haznik tidak mengendahkan kata-kata Nasrul dan terus mengeluarkan jus oren. Diletakkan di atas meja, di depan Nasrul. “Coke takde?” soal Nasrul. Haznik tersenyum. Dimasukkan semula jus oren lalu dicapai setin minuman berkarbonat itu.
Minuman itu segera diteguk Nasrul yang kepanasan. “Aku datang sini sebab aku tak nak kau berkahwin dengan Na,” tutur Nasrul, tanpa membuang masa. Haznik tidak segera menjawab.
Na? Itukah panggilan Nasrul terhadap Nurhana?
“Apa salah saya? Kenapa tak suka saya?”
Haznik ingin tahu. Daripada apa yang dia dengar dari mulut Nurhana, Nasrul seakan membenci dirinya. Mengapa?
“Kau tak salah. Cuma aku suka pada perempuan aje.” Nasrul loyar buruk. Hendak meletus tawa Haznik saat mendengar jawapan Nasrul. Baru dia tahu dari mana datangnya perangai Nurhana yang begitu pandai menjawab.
“Tak, maksud saya... kenapa awak tak suka kalau saya berkahwin dengan Hana?”
“Mesti ada sebab ke untuk suka dan tak suka pada seseorang?”
Haznik diam seketika sebelum mengangguk setuju.
Pertama kali melihat Nurhana, dia sudah sukakan gadis itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa.
“Terus terang dengan aku... sebenarnya kau bukannya serius dengan Na, kan?”
“Apa yang buat awak cakap macam tu?” Entah kenapa, darah Haznik mula menggelegak. Nasrul hanya tersenyum sinis.
“Kenapa kau tanya? Baru berapa hari kau kenal Na?
Kau tahu tak sebenarnya adik aku gunakan kau sebagai alasan untuk hentikan perkahwinan aku? Dia bukannya betul-betul nak berkahwin pun.” Nasrul menyampaikan. Biar Haznik tahu perkara sebenar. Dia tidak mahu jirannya itu terus terbabit dalam urusan keluarganya.
“Saya tahu,” jawab Haznik. Nurhana sudah menceritakan segala-galanya tempoh hari. Gadis itu memang sengaja mahu mencabar Nasrul.
“Dia kata dia nak kahwin dengan kau pada hari yang sama aku berkahwin.”
“Itu pun saya tahu.”
“Aku kenal sangat dengan adik aku. Sikit pun aku tak percaya bila dia kata dia nak kahwin dengan kau. Ugutan dia takkan berkesan,” ujar Nasrul. Diamati wajah Haznik. Tidak mungkin Nurhana hendak mengahwini lelaki di depannya ini.
“Maksudnya, awak tetap tak nak hentikan perkahwinan awak tu?” tanya Haznik. Nampak gayanya, Nasrul langsung tidak terkesan dengan ugutan adiknya.
“Ya, sebab kau dan Na takkan berkahwin. Bukan pada tarikh yang sama atau bila-bila pun. Jadi, jauhkan diri daripada adik aku!” Usai memberi kata dua, Nasrul terus bangkit. “Thanks for the drink anyway,” ucap Nasrul sebelum menutup pintu. Haznik ditinggalkan terkedu tanpa kata. Setiap kata-kata Nasrul berulang kali bermain semula di kepala seperti kaset yang rosak. Panas hati pula dia dibuatnya. Lantas dikuatkan penghawa dingin, untuk menyejukkan rasa yang membahang. ‘Nasib baik kau abang Nurhana!’
“ABANG CAKAP apa ni?” tanya Nurhana. Bulat matanya merenung wajah Nasrul. Sangkanya ugutan yang dibuat tempoh hari berkesan. Tetapi berita apa pula yang dikhabarkan oleh abangnya ini?
“Abang tetap nak kahwin dengan perempuan tu?”
Nasrul tersenyum sebelum mengangguk. Tidak pula dia memberitahu Nurhana bahawa dia sudah bertemu dengan Haznik. Dia yakin, perkahwinan Nurhana dan Haznik tidak akan berlangsung pada tarikh yang sama dia berkahwin. Melihat senyuman Nasrul, Nurhana jadi tidak senang duduk. Dia cuba berlagak tenang. Siapa yang dapat bertenang sekiranya berdepan dengan situasi sebegini?
“Lagipun bukan ke Na nak kahwin dengan Nik pada hari yang sama. Siapalah abang untuk halang hasrat adik kesayangan abang sendiri, kan?” ujar Nasrul, sengaja memulangkan kembali kata-kata adiknya tempoh hari. Nurhana mengetap bibir. Saat itu kata-kata Haznik terngiang-ngiang di telinganya.
‘Tapi macam mana kalau dia nak teruskan jugak? Awak nak kahwin dengan saya?’ Tidak mungkin lelaki itu hendak mengahwininya. Dia tahu Haznik sengaja mahu mengusik. Kini, dia tidak punya sebarang alasan untuk menghalang perkahwinan abangnya itu.
“Na akan kahwin dengan Nik!” Nurhana tetap mempertahankan ugutannya walaupun dia tahu semua itu mustahil.
“Okey.” Nasrul tersenyum. Ugutan adiknya sudah tidak membawa sebarang makna lagi.
“Kita akan nikah pada hari yang sama!” Tambah Nurhana lagi.
‘Yalah tu...’ getus hati Nasrul.
“Abang tak sabar sangat nak tunggu hari tu,” balas Nasrul, penuh keterujaan yang dibuat-buat.
Nurhana ketap bibir. Kata-kata abangnya umpama satu sindiran pedas. Perit sungguh untuk ditelan.
Saat itu dia rasa dirinya telah tewas. Dia tidak mungkin akan dapat menghalang abangnya daripada berkahwin dengan Rania. Perempuan itu akan tetap menjadi kakak iparnya.
MARIAM TERCENGANG-CENGANG tika melihat anak gadisnya meluru ke bilik selepas berbicara dengan Nasrul.
Dia tidak sempat mendengar apa yang dibualkan oleh dua beradik itu. Menyedari riak wajah Nurhana yang berserabut, segera diekori langkah anaknya itu. Hatinya diburu bimbang.
Dia hilang kata-kata apabila Nurhana menarik keluar beg pakaian dan mula memasukkan pakaian ke dalamnya.
“Na nak ke mana?” tanya Mariam. Satu per satu baju dicampakkan Nurhana ke dalam beg. Fikiran Mariam melayang mengenangkan perkara sama yang dilakukan Nurhana dua tahun lalu.
“Abang tetap akan berkahwin dengan Rania. Na tak nak berada kat sini bila mereka berkahwin. Na tak sanggup tunggu dan tengok perempuan tu masuk ke rumah kita sebagai kakak ipar Na!” luah Nurhana. Ditahan air matanya daripada merembes laju. Tidak! Dia tidak ingin membiarkan walau setitis pun air matanya tumpah kerana perempuan itu.
“Tapi bukan ke Na nak kahwin dengan Nik pada hari yang sama?” Mariam tidak mengerti. Nurhana segera menggeleng.
“Na cuma ugut abang sebab abang tak sukakan Nik. Tapi nampaknya abang dah tahu perkara sebenar.”
“Na nak tinggalkan mama dan papa lagi?” tanya Mariam. Suara ibunya yang bertukar serak membuat pergerakan Nurhana terhenti. Lantas dia menoleh memandang wajah sayu ibunya. Ada mendung di wajah wanita yang telah melahirkan dirinya itu.
“Na tahu tak betapa mama rindukan Na sepanjang dua tahun Na duduk berjauhan daripada kami semua?” soal Mariam lagi. Air matanya tumpah tanpa sempat ditahan. Sendu dalam hatinya tidak dapat dibendung. Dia tidak sanggup membiarkan Nurhana jauh dari matanya sekali lagi.
“Mama...” Nurhana dirundung rasa bersalah. “Tolonglah jangan pergi, Na. Jangan tinggalkan mama dan papa lagi,” Mariam cuba memujuk. Digenggam kedua-dua tangan anaknya. Ditatap wajah Nurhana, mengharapkan anaknya akan berubah fikiran. “Perempuan tu dah rampas anak lelaki mama. Mama tak nak kehilangan anak perempuan mama pulak,” tambah Mariam. Saat itu dia menyalahkan Rania atas apa yang sedang terjadi. Mengapa gadis itu mesti memporak-perandakan keluarganya? Nurhana menarik nafas dalam-dalam. Ikutkan hati, dia hendak menetap terus di luar negara. Dia tidak mahu kembali lagi. Tetapi kata-kata ibunya membuatkan dia serba salah. Pandangan diangkat, mengamati wajah ibunya. Mata ibunya berkaca-kaca. Rasa kesal terus menghempap dada. Adakah dia yang sedang membuatkan ibunya menangis?
“Na takkan lari lagi, mama.” Nurhana mengalah.
0 Response to "Demi Rindumu Episod 8 Sinopsis and Video"
Post a Comment