Demi Rindumu Episod 9 Sinopsis and Video

Demi Rindumu Episod 9 Sinopsis
WALAUPUN hatinya cukup terluka dek perbuatan abangnya, Nurhana memutuskan untuk tidak kembali ke Sydney. Cukuplah dia membawa diri dan meninggalkan keluarganya selama dua tahun dahulu. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka lagi.

Oleh kerana mahu bekerja, dia meminta agar bapanya mencarikan pekerjaan untuknya. Dengan mudah, dia diberikan jawatan sebagai Penolong Pengarah Kreatif di salah sebuah syarikat hiasan dalaman milik rakan bapanya, bersesuaian dengan ijazah rekaan hiasan dalaman yang dimiliki.

Sudah masuk seminggu dia bekerja. Nurhana masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja di situ. Rakan sekerjanya pula begitu ramah dan tidak lokek berkongsi ilmu. Dia merenung kalendar di atas meja. Hari-hari yang berlalu dihadapi Nurhana dengan rasa sebal. Makin dekat dengan tarikh perkahwinan abangnya, makin dia makan hati berulam jantung.

Persiapan yang dilakukan abangnya makin meriah. Barang hantaran sudah siap dan diletakkan di ruang tamu. Tiap kali dia turun ke ruangan itu, matanya bagai dicucuk-cucuk apabila melihat hantaran tersebut. ‘Macam takde tempat lain nak letak!’ gumamnya geram. Mujur perkahwinan itu akan diadakan di dewan, bukan di rumah mereka.

Jika tidak, mahu sakit jiwanya melihat pelamin, khemah dan lain-lain. Tumpuannya teralih ke arah telefonnya yang erdering. Tertera nama Haznik di skrin. Nurhana hanya emandang telefonnya kosong. Dia tiada hati untuk menjawab panggilan Haznik pada waktu itu. Apatah lagi ketika dia berada di pejabat. Satu panggilan daripada Haznik sebelum ini juga dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan.

Dia tidak mahu melibatkan Haznik dalam hal itu lagi. Lebih baik dibiarkan sahaja panggilan itu. Ketukan di pintu membuatkan Nurhana terdongak. “Hai!” Berkerut dahi Nurhana melihat wajah jejaka yang terpacak di muka pintu.
“Awak buat apa kat sini?” soal Nurhana.
“Saya datang sebab nak minta awak design hiasan dalaman pejabat saya.” Nurhana melepaskan keluhan berat.

Cukup-cukuplah dengan apa yang terpaksa dia lalui. Dia terlalu penat untuk berdepan dengan drama ini pula.

“Izlan, kalau awak nak hias pejabat awak, tolong jumpa Fadzel di bilik sebelah. Dia lebih mahir dalam hal tu.”
“Dan awak pula mahir tentang apa?” tanya Izlan.
“Kediaman,” jawab Nurhana, acuh tak acuh. Disibukkan diri dengan pelan yang berada di atas meja.
“Kalau macam tu, awak boleh tolong re-decorate rumah sayalah.”
“Saya sibuk.”
“Saya boleh tunggu,” balas Izlan lalu tersenyum panjang.

Matanya masih tidak lepas daripada memandang urhana. Gadis itu nampak begitu elegan apabila mengenakan busana korporat. Kerongsang berbentuk orkid yang tersemat di dada Nurhana membuat gadis itu tampak berseri-seri.

“Apa yang awak nak sebenarnya?” Kedegilan Izlan sudah mula membuatkan Nurhana rasa meluat. Tiba-tiba Izlan datang mengganggunya. Untuk apa? Bukankah mereka sudah tidak ada sebarang hubungan lagi?
“Awak dah tahu pasal Rania?” Nurhana memekakkan telinga apabila mendengar nama itu. Kerana inikah lelaki itu datang?
Untuk mengingatkan dia pada memori pahit yang ingin dia lupakan?
“Awak tahu dia akan kahwin dengan abang awak, kan?”
‘Semua orang dah tahulah!’ Nurhana membalas dalam senyap.
“Jadi, tak salah kalau kita mulakan hubungan kita semula, kan?” pinta Izlan, tidak berputus asa.
“Awak dah lupa ke saya dah bertunang?” tanya Nurhana.
“Dengan siapa? Haznik?” tanya Izlan. Dengan tidak semena-mena jejaka itu ketawa. Nurhana tidak mengerti. Apa yang kelakar sangat?
“Saya dah tanya beberapa kawan rapat awak dan mereka begitu yakin awak belum bertunang terutamanya dengan lelaki tu,” ujar Izlan.

Nurhana mengunci mulut. Dia tertunduk, malu kerana pembohongannya terbongkar begitu cepat. Dari mana lelaki itu tahu agaknya?

“Hana, Rania dah mulakan hidup baru. Takkan kita tak boleh buat perkara yang sama?” Izlan memberi cadangan.
Fikiran Nurhana berkecamuk. Perlukah dia menerima Izlan semula? Jika difikirkan, dia tidak mungkin akan dapat berkahwin dengan Haznik pada hari yang sama dengan abangnya berkahwin. Kata-kata Haznik selama ini pula dianggap tidak lebih daripada usikan semata-mata. Tak mungkin Haznik hendak mengahwini dirinya. Mungkin Izlan boleh menggantikan Haznik. Ya, memang abangnya tidak sukakan Haznik tetapi Izlan berada di kedudukan paling utama dalam senarai orang paling dibenci oleh abangnya itu. Jika dia berkahwin dengan Izlan,
dia yakin dapat membuatkan abangnya lebih sakit hati. Mungkin abangnya tidak akan jadi berkahwin dengan Rania.
“Sorry, but she’s taken,” sampuk Haznik.
“Nik!” Mata Nurhana terarah ke pintu. Bagaimana pula lelaki itu boleh ada di sini? Bagaimana lelaki itu tahu tempat kerjanya?
Berpuluh-puluh soalan lain berlegar dalam kepala. Takdir apakah ini sehingga kedua-dua lelaki itu muncul di tempat kerjanya dalam masa yang sama?

“Apa yang dia buat kat sini, Hana?” Tajam mata Haznik mengerling ke wajah Izlan. Lelaki itu membalas dengan renungan yang lebih tajam.
“Awak pulak buat apa kat sini?” Izlan membalas.
“Saya datang nak jumpa bakal isteri saya la.”
“Tak payah nak menipu lagi. Saya dah tahu perkara sebenar. Awak bukannya betul-betul tunang Hana pun!”
“Memang dia bukan tunang saya... tapi kami tetap akan berkahwin bulan depan. Hana tak beritahu awak ke?”

Soal Haznik. Mata Izlan terhala ke arah Nurhana yang terkedu anpa kata. Lidahnya kelu apabila dua orang lelaki sedang bertelagah kerana dirinya. Jika ini adegan dalam drama,
mungkin dia akan bertepuk tangan. Tetapi semua ini terjadi di hadapannya. Ketegangan yang sedang dia rasakan membuatkan Nurhana gelisah.

“Beritahulah pada dia, Hana. Kita akan kahwin pada tarikh yang sama dengan abang awak kahwin, kan?”
“Err... ya.” Entah mengapa Nurhana mengiakan sahaja.
‘See?’ Ada senyum kemenangan terlukis di wajah Haznik. Izlan menggenggam kedua penumbuknya erat. Ada berang terlukis di mukanya. Tanpa berlengah, dia bergegas meninggalkan pejabat Nurhana.

“NIK, APA yang awak buat kat sini?” tanya Nurhana, separuh berbisik. Dia segera menutup pintu pejabatnya rapat-rapat. Enggan membiarkan perbualan mereka didengari oleh orang lain.

“Dan macam mana awak tahu tempat kerja saya?” soal Nurhana. Seingatnya dia tidak pernah memberitahu alamat pejabatnya kepada Haznik.
“Saya call awak, tapi awak tak jawab panggilan saya. Saya bimbang ada apa-apa terjadi pada awak.”

Haznik langsung tidak menjawab soalan Nurhana tadi. Nurhana tergeleng. Hanya kerana dia tidak menjawab panggilan lelaki itu, Haznik datang mencari sehingga ke pejabatnya?
“Macam yang awak sedang tengok sekarang, saya baik-baik aje.”
“Jadi, kenapa tak jawab panggilan saya?” tanya Haznik. Nurhana diam, mengunci mulut.
“Awak cuba mengelak daripada saya?” Nurhana membisu lagi.
“Kenapa?” tanya Haznik, tidak faham. Kebisuan Nurhana mengiakan andaiannya.
“Abang saya akan tetap berkahwin dengan Rania,” maklum Nurhana.
“Ya, semua orang dah tahu pasal hal tu,” ujar Haznik, bersahaja.
“Dan saya tak dapat buat apa-apa untuk hentikan perkahwinan tu,” luah Nurhana. Apa yang dia boleh buat sekarang hanyalah menunggu sehingga tarikh perkahwinan. Dia yakin dia tidak mungkin akan dapat hadir sama pada hari itu. Semua itu terlalu menyakitkan untuknya. Haznik melepaskan keluhan perlahan.

“Awak memang tak nak abang awak kahwin dengan Rania ke?” tanya Haznik. Nurhana hanya mengangguk lemah. Dia begitu bencikan perempuan itu. Tidak mungkin dia akan membiarkan Rania menghancurkan hidup abangnya. Apatah lagi apabila ternyata Rania hanya mahukan duit abangnya itu.

“Awak tahu tak abang awak ada jumpa saya?”
tanya Haznik. Hatinya terasa panas kembali mengenangkan semua itu. Dia tidak sangka jirannya ada sikap yang amat menyakitkan hati.

“Bila? Kenapa saya tak tahu pun?” Nurhana terkejut. Untuk apa abangnya berjumpa dengan Haznik?
“Awak akan tahu kalau awak jawab panggilan telefon saya tadi,” balas Haznik.
“Maaf. Saya tak dapat jawab sebab fikiran saya betul-betul berserabut. Saya tak dapat buat kerja. Saya tak dapat fikir apa-apa. Baru dua tahun saya tiada, tapi macam-macam dah berlaku. Kalau saya tak pergi, Rania takkan ada peluang untuk dekati abang saya. Abang saya pun takkan buat keputusan untuk berkahwin dengan Rania.” Nurhana rasa sungguh tidak berdaya. Dia berang dengan dirinya sendiri. Kepala didongakkan, memandang Haznik yang setia mendengar luahan hatinya. “Maaf, tak pasal-pasal awak kena dengar masalah ni. Saya dah banyak menyusahkan awak. Saya tak tahu macam mana nak balas segala budi baik awak,” Nurhana dihimpit rasa bersalah.
“Jangan risau. Sedikit pun saya tak rasa awak menyusahkan saya.” Lega Nurhana mendengar bicara Haznik.
“Tapi kalau betul awak nak balas budi, ada sesuatu yang boleh awak lakukan.” Terkebil-kebil mata Nurhana memandang wajah jejaka itu.
“Awak nak kahwin dengan saya tak?” tanya Haznik. Nurhana tergamam apabila Haznik tidak semena-mena menyuakan sebentuk cincin di hadapannya.
“Nurhana binti Hussin, sudi tak awak jadi isteri saya?


Disclaimer: Images, articles or videos that exist on the web sometimes come from various sources of other media. Copyright is fully owned by the source. If there is a problem with this matter, you can contact here.

0 Response to "Demi Rindumu Episod 9 Sinopsis and Video"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel

Loading...